Berita Utama

PRU dalam musim banjir, siapa yang untung?: Penganalisis

Situasi terkini tidak sebelahi kerajaan, UMNO bakal hilang kelebihan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam musim banjir hanya memberikan kesan dan persepsi tidak baik terhadap kerajaan.

Lebih malang lagi, jika Perdana Menteri tunduk kepada desakan parti yang paling dilihat tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin, di mana ia sekali gus akan membuatkan rakyat jelak pada pemerintah.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, ia menimbulkan persepsi bahawa kerajaan tidak mempedulikan rakyat kerana sanggup mengadakan pilihan raya dalam keadaan rakyat berdepan dengan banjir. 

Bukan itu sahaja, antara yang turut memberikan nilai negatif kepada kerajaan, katanya, adalah kerana keadaan ketika ini agak tidak stabil ekoran isu kejatuhan mata wang Malaysia dan juga kadar inflasi yang dilaporkan meningkat kepada 4.7 peratus pada Ogos berbanding 4.4 peratus pada Julai.

“Dalam erti kata lain, situasi terkini tidak menyebelahi kerajaan. Di samping isu ekonomi, timbul pula isu yang dibongkar pembangkang seperti isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS), kemasukan Datuk Seri Najib Razak ke penjara dan pemimpin UMNO lain yang berdepan kes mahkamah. 

“Ini turut memberikan persepsi yang tidak baik mengenai kerajaan dan juga UMNO,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata, sebelum ini UMNO memang berkeyakinan mereka boleh menang PRU memandangkan pengundi atas pagar tidak begitu gembira dengan politik bahkan tak mempedulikan politik hingga memudahkan Barisan Nasional (BN) menang di Melaka dan Johor. 

“Tapi mutakhir ini saya berpandangan rakyat semakin kembali mula memberi pandangan mengenai politik ekoran isu rasuah yang sedang dibongkar. Ini menjadi satu pemicu kepada kesedaran rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, jika PRU tetap diadakan pada musim banjir, berkemungkinan besar peratusan keluar mengundi tidak begitu tinggi. 

“Ini pula mungkin boleh dijadikan isu oleh pembangkang. Memandangkan negeri-negeri yang berisiko banjir adalah di bahagian pantai timur dan utara di mana negeri ini dikuasai oleh PAS. Hanya UMNO dan PAS yang kuat bersaing di kawasan itu. 

“Kalau berlaku banjir di negeri-negeri ini UMNO dan PAS akan kehilangan kelebihan. Mungkin peratus mengundi buat mereka juga akan turun,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November.

Ia dijangka membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. 

Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu mengundang risiko berlaku hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button