Berita Utama

PRU15: Jentera PAS sudah sedia, kata Tuan Ibrahim

PN Tubuh jawatankuasa manifesto fokus kestabilan politik, ekonomi

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – PAS sudah berada di pecutan terakhir dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Ini kira ‘gear’ akhir, sudah bersedia sepenuhnya daripada segi jentera.

“Insya-Allah daripada segi parti, kita (juga) masih menunggu mengenai tarikh persiapan PRU-15, tetapi secara keseluruhannya kita dapati negeri-negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bercakap mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

Katanya, perbincangan sudah dilakukan sebelum ini namun tiada keputusan muktamad lagi.

Bagaimanapun beliau yakin isu melibatkan pembahagian kerusi itu akan diselesaikan selepas mengadakan pertemuan bersama beberapa pimpinan yang berada dalam PN.

“Saya difahamkan mesyuarat pertama sudah diadakan, mesyuarat kedua dan ketiga akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat (dan) kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan PN kini telah menubuhkan jawatankuasa manifesto PRU15 yang akan memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Katanya, tumpuan utama yang pertama untuk pemulihan ekonomi negara dan kedua, melibatkan isu perubahan iklim yang memberikan impak secara langsung kepada situasi negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button