Berita Utama

Sekolah sedia digunakan sebagai pusat pemindahan, pusat mengundi: Radzi

Agensi pusat boleh minta tambah sekolah jika banjir berlaku di tempat tak dijangka

PUTRAJAYA, 26 Safar 1444H, Jumaat – Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beberapa sekolah sedia digunakan sebagai pusat mengundi serta pusat pemindahan sementara bagi bencana banjir.

Beliau berkata, kementerian mempunyai senarai sekolah sesuai yang boleh digunakan oleh agensi pusat sekiranya berlaku banjir dan juga untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kami menyokong penggunaan sekolah untuk kepentingan negara dalam konteks pengurusan banjir dan mengadakan pilihan raya,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, banjir kadangkala boleh berlaku di tempat yang tidak dijangka.

“Dalam konteks ini, agensi pusat sentiasa boleh meminta sekolah yang tiada dalam senarai dijadikan pusat pemindahan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, adalah tidak kondusif untuk mengadakan PRU15 pada musim banjir kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan.

Khairy berkata, bahawa banyak tenaga kerja diperlukan untuk mengendalikan pilihan raya pada musim tengkujuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button