Berita Utama

Zahid Hamidi dakwa yakin bebas jika dapat perbicaraan adil

Presiden UMNO bebas daripada 40 pertuduhan rasuah sistem VLN

BANGI, 26 Safar 1444H, Jumaat – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, pimpinan UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politiknya berkuasa tidak pernah takut menghadapi sebarang tindakan.

Presiden UMNO itu mendakwa bahawa mereka – yang dituduh itu – berani kerana di pihak benar.

Katanya, disebabkan itu beliau dan pemimpin UMNO lain yang berdepan pendakwaan di mahkamah tidak pernah lari, sebaliknya berjuang membersihkan nama kerana percaya kebenaran akan terserlah jika perbicaraan dapat dilangsungkan secara telus dan saksama.

“Seperti sering saya nyatakan, diri ini amat yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.

“Syukur ke hadrat Illahi di atas keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan saya daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadap saya semasa kerajaan 22 bulan berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan akhir di kes pendakwaan itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau berterima kasih kepada pasukan guaman yang bertungkus-lumus dan tidak berputus asa mendapatkan keadilan buat dirinya.

“Terima kasih juga semua yang mendoakan sepanjang perbicaraan ini.

“Insya-Allah keputusan mahkamah ini akan menjadi penguat semangat untuk saya terus memperjuangkan segenap kebenaran yang perlu diangkat walau apa cabaran mendatang,” katanya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button