Berita Utama

Malaysia cadang PBB wujudkan mekanisme kerjasama monetari antarabangsa

Memandangkan dunia saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara

NEW YORK, 27 Safar 1444H, Sabtu – Malaysia hari ini meminta negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi menangani pelbagai isu ekonomi, antaranya cengkaman inflasi yang melanda dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mekanisme sebegini diperlukan memandangkan dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain.

“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain,” katanya dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke -77 di Ibu Pejabat PBB, di sini, pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, cadangan penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa adalah bertujuan untuk membina sistem yang lebih efektif, adil dan mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat. “Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, trend kadar inflasi yang tinggi menjadi fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara di dunia berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Menurut kajian yang dibuat oleh Bank Dunia, ketika bank di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak ekoran inflasi, dunia kemungkinan akan menuju ke arah kemelesetan pada 2023.

Bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar faedah tahun ini pada kadar yang belum pernah dilihat sejak lima dekad lepas – satu trend yang dijangka akan berterusan sehingga ke tahun depan, kata laporan itu.

Para pelabur menjangka bank pusat menaikkan kadar dasar monetari kepada sehingga hampir 4 peratus sepanjang 2023, peningkatan lebih daripada 2 peratus berbanding purata pada 2021.

Di Malaysia, Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 oleh Kementerian Kewangan pada awal bulan ini menunjukkan kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berikutan langkah kerajaan menyediakan peruntukan subsidi yang lebih besar iaitu sebanyak RM77.7 bilion bagi tahun 2022 jika dibandingkan dengan bajet asal sebanyak RM31 bilion.

Menurut laporan itu, kadar inflasi di Malaysia meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, selari dengan jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, harga komoditi yang masih tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global.

Bagi Ogos 2022, kadar inflasi negara meningkat sedikit kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai 2022 dan kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Kadar inflasi pada Ogos 2022 di Zon Eropah adalah 9.1 peratus, Amerika Syarikat pada 8.3 peratus, Thailand pada 7.9 peratus, Filipina pada 6.3 peratus dan Republik Korea mencatatkan 5.7 peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button