Berita Utama

KKM hargai penglibatan NGO bantu jayakan program vaksinasi

Bantu percepatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Safar 1444H, Sabtu – Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat membantu mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat negara ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata inisiatif seperti program vaksinasi dari rumah ke rumah yang digerakkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) membantu KKM menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pada waktu itu, memang KKM telah gerakkan jururawat dan doktor untuk laksanakan kempen vaksinasi dari rumah ke rumah, tetapi kami di KKM memang tidak cukup kakitangan.

“NCSM memberikan cadangan untuk libatkan sukarelawan membantu dan kempen ini telah membuahkan hasil apabila NCSM berjaya memberi vaksinasi lebih 150,000 dos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan NCSM dan pelancaran buku ‘From Cancer to COVID’ yang dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM memberi komitmen untuk bersama-sama NCSM memerangi kanser di negara ini.

“Selepas kita selesai dengan pandemik COVID-19 ini ataupun ia telah terkawal, maka KKM dan NCSM perlu kembali memerangi kanser. Saya beri komitmen sepenuhnya dengan NCSM,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button