Berita Utama

Negara kekurangan institusi yang boleh bela nasib wanita

Contohi Barat yang sedia pelbagai kemudahan untuk wanita

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Safar 1444H, Sabtu – Institusi yang memperjuangkan hak dan kedudukan wanita di negara ini perlu diperluaskan bagi terus membela nasib kaum berkenaan.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, wanita adalah tulang belakang kepada pembinaan masyarakat.

Katanya, selain itu, jatuh bangun sesebuah negara juga banyak bergantung kepada corak yang ditempa oleh wanita dalam masyarakat.

“Namun di negara kita, institusi untuk kaum wanita membuat rujukan dan dijadikan tempat mengadu agak terhad dan keadaan ini jauh berbeza dengan situasi di Barat yang sangat membela nasib kaum Hawa mereka dengan pelbagai agensi yang boleh dituju kaum berkenaan dalam menyelesaikan masalah dan menjadi rujukan.

“Di negara kita, walaupun kita mempunyai budaya dan mengangkat kedudukan wanita namun agensi untuk membela nasib kaum ini dilihat kurang dan sangat terhad dan tiba masanya kita mewujudkan lebih banyak agensi dan institusi yang boleh dijadikan tempat rujukan.

“Penambahan pelbagai agensi dan jabatan berkenaan diyakini menjadi medium kepada golongan berkenaan menyuarakan hak mereka sekali gus dapat mengangkat kedudukan wanita selari dengan ajaran Islam yang meletak wanita di tempat yang agung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita Islam Nasional 2022 (KONWANIS) yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dekat sini, hari ini.

Program anjuran Wanita ISMA, Kelab Iffah Malaysia dengan kerjasama Beliawanis PEMBINA dan Mirasya itu dihadiri hampir 2,000 peserta dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan perlu kerjasama padu semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua tidak akan menjadi kalau nak mengharapkan kerajaan sahaja tidak boleh juga begitu juga pergerakan NGO sahaja untuk bergerak solo juga akan berdepan masalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button