Berita Utama

PBM hanya bertanding kerusi penyandang pada PRU15

Parti tidak mahu buang masa kepada kawasan lain

BUKIT MERTAJAM, 27 Safar 1444H, Sabtu – Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya akan meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ahli parti itu sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ketika ini, parti itu tidak mahu membuang masa kepada kawasan lain, kerana percaya calon sedia ada mampu kekalkan kerusi mereka.

“Semuanya melibatkan calon penyandang sahaja pada PRU15, nanti kerana potensi untuk kekalkan kerusi sedia ada amat cerah, pengundi telah kenal kita, malah jentera pun dah ada di kawasan Parlimen dan DUN terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ampang itu berkata selain beliau sendiri di Ampang, kawasan Parlimen lain akan ditandingi PBM termasuk Larry Sn’g di Julau dan Steven Choong di Tebrau.

Manakala bagi DUN pula terdiri daripada tiga di Perak iaitu A Sivasubramaniam (Buntong), Paul Yong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar) serta dua di Selangor, iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Sementa).

Zuraida berkata, beberapa lagi Ahli Parlimen akan turut menyertai PBM dan bertanding pada PRU15 atas kerusi parti itu, namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka hari ini kerana ia akan diumumkan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PBM, 1 Oktober.

Zuraida memenangi kerusi Ampang untuk PKR sejak 2008 sebelum menyertai Bersatu pada 2020. Beliau kemudian meninggalkan parti itu dan menyertai PBM pada Mei tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button