Berita Utama

Perjumpaan MN: PN mahu penjelasan Abdul Hadi

Muhyiddin mahu PAS terangkan apa dipersetujui antara parti itu dan UMNO

PUTRAJAYA, 27 Safar 1444H, Sabtu – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta penjelasan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan ada usaha untuk mengaktifkan semula Muafakat Nasional (MN).

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau mahu PAS menerangkan apa yang dipersetujui antara PAS dan UMNO dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Saya juga berminat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Saya mahu dapatkan penjelasan apabila saya berjumpa Abdul Hadi Isnin atau Selasa ini.

“Kami akan berbincang banyak isu penting, sudah tentu untuk dapatkan penjelasan sama ada berlaku perbincangan sedemikian, apakah hasilnya, adakah UMNO bersetuju dengan apa yang diatur, (dan) apakah kedudukan PN,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Keenam Bersatu di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan satu pertemuan antara Abdul Hadi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selasa lepas yang membincangkan mengenai MN bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang..

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ada perbincangan tidak rasmi antara parti itu dengan pemimpin UMNO tertentu untuk membincangkan kerjasama menjelang PRU15.

Pada Muktamar ke-68 PAS, satu usul untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi platform MN dalam PRU15 diluluskan.

MN adalah satu kerjasama politik antara UMNO dan PAS yang dibentuk pada 2019 selepas kedua-dua parti tewas dalam pilihan raya umum ke-14. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button