Berita Utama

Perkasa undang-undang martabatkan wanita

Tidak cukup sekadar program, penerangan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Safar 1444H, Sabtu – Pemerkasaan undang-undang dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha memartabatkan wanita seperti dilakukan Rasulullah ﷺ.

Bagaimanapun, perkara itu tidak memadai sekadar mengadakan program, memberi penerangan tanpa aplikasi undang-undang, kata Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

“Rasulullah ﷺ selepas diminta nasihat dan memberi penerangan… Sekiranya ada berlaku kezaliman terhadap golongan wanita, Rasulullah ﷺ akan melaksanakan pemerkasaan dari aspek undang-undang jika ada ruang kepada perkara sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Wanita Islam Nasional 2022 (KONWANIS) yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sanusi tidak menafikan ketika ini wujudnya ideologi yang menyeleweng sehinggga membawa kepada penafsiran yang salah mengenai hak-hak wanita sekali gus menfitnah Rasulullah ﷺ.

“Kalau kita lihat hak perjuangan dalam aspek pekerjaan, ada kalangan mereka yang menggunakkan ayat al-Quran untuk menyatakan sebenarnya hak pelacur telah diminta pada zaman Rasulullah.

“Bagaimana hak pelacur itu dikatakan telah wujud pada zaman Rasulullah adalah satu penafsiran yang terlalu jauh menyeleweng. Sebab itu perlukan penerangan yang tepat berdasarkan al-Quran dan hadis,” katanya.

Katanya lagi, pada hari ini ada beberapa gerakan pemikiran baharu yang membawa perjuangan mengenai kewanitaan – dikenali sebagai feminisme.

“Pada awalnya feminisme memperjuangkan hak-hak wanita tetapi sekarang seakan-akan termasuk pada hak lain seperti kebebasan hak berpakaian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button