Tun M minta maaf pernah kata Melayu malas
Tak mustahil tanah Melayu hilang jika penjualan tanah berterusan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
KUALA LUMPUR, 28 Safar 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf kepada orang Melayu sekiranya terguris mengenai kenyataan kontroversi suatu ketika dahulu bahawa ‘Melayu malas’ .
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tertanya-tanya sama ada permohonan maaf itu mampu mengubah keadaan orang Melayu jika mereka tidak berusaha.
“Saya minta maaf. Orang Melayu rajin. Tetapi masalah boleh atasi dengan saya minta maaf?
“Kalau kerana saya minta maaf itu, maka orang Melayu jadi kaya, baik, saya minta maaf. Itu kalau nak.
“Tetapi kalau kita masih tak berusaha, bekerja kuat, belajar dapat ilmu sebagainya negara kita ini akan hilang daripada tangan kita,” katanya ketika program Dialog Parti Politik Melayu-Islam, di Hotel Adamson Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Permohonan maaf dibuat selepas salah seorang peserta yang hadir ke dialog meminta Dr Mahathir berbuat demikian sekiranya serius dengan perjuangan Gerakan Tanah Air (GTA).
Selain itu, Dr Mahathir mendakwa, hari ini orang Cina lebih kaya daripada orang Melayu.
Bahkan dakwanya, ketika ini separuh daripada Semenanjung Malaysia dimiliki orang Cina atas tindakan orang Melayu menjual tanah kepada mereka.
“Di masa hadapan kalau proses penjualan tanah orang Melayu kepada orang Cina berterusan dalam jangka masa 20 tahun, tanah Melayu ini akan dimiliki oleh orang Cina seperti Singapura.
“Kenapa? Kerana kita miskin. Kenapa kita miskin kerana kita tak sanggup nak belajar, berusaha mendapat kekayaan. Kita tunjuk macam mana nak dapat kekayaan, tapi kita tolak.
“Kalau dengan saya minta maaf segala masalah ini hilang, saya minta maaflah,” katanya.