Berita Utama

Azmin Ali wakili Perdana Menteri ke upacara pengebumian Shinzo Abe

Adakan sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida

PUTRAJAYA, 29 Safar 1444H, Isnin – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Upacara Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe, pada 27 Sept di Nippon Budokan, Tokyo.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno, dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi, diikuti pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada balu mendiang Abe, Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo.

Abe, perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun, meninggal dunia selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan dalam kempen pilihan raya di Nara pada 8 Julai.

Semasa menjadi Perdana Menteri Jepun, Abe pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Lawatan terakhir beliau ke Malaysia selaku Utusan Khas Perdana Menteri Jepun bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT, menyaksikan Abe mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Mac 2022.

Pada 13 Julai, Perdana Menteri dan Menteri Luar Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menandatangani buku takziah di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur, menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button