Israel tutup Tebing Barat, lintasan Gaza sempena cuti Yahudi
Rejim turut kawal al-Aqsa, kunci Masjid Ibrahimi untuk jemaah muslim

RAMALLAH, 29 Safar 1444H, Isnin – Pihak berkuasa negara haram Israel mengumumkan penutupan penuh dikuatkuasakan ke atas Tebing Barat dan lintasan Semenanjung Gaza untuk cuti Yahudi.
Pengumuman rejim Zionis pada Ahad itu memberitahu bahawa penutupan berkenaan bermula petang semalam sehingga tengah malam Selasa.
Sementara itu, polis Israel mempergiatkan langkah kawalan di Baitulmaqdis yang diduduki, dengan ribuan tentera dan pengawal sempadan melakukan sekatan jalan raya serta pusat pemeriksaan di bandar itu, khususnya di sekitar Old City dan jalan raya menuju ke Masjid al-Aqsa.
Pasukan polis Israel turut memperhebatkan kehadiran mereka di pintu masuk menuju ke Masjid al-Aqsa dan mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan warga Palestin ke situ.
Polis negara haram Israel dilaporkan membuat gesaan supaya peneroka Yahudi mengangkat senjata ketika menghadiri kebaktian di rumah ibadat sewaktu sambutan Tahun Baru Yahudi, khususnya di bandar Baitulmaqdis.
Bukan hanya mengawal Masjid al-Aqsa, pasukan pendudukan Israel turut mengunci Masjid Ibrahimi di Hebron, selatan Tebing Barat kepada jemaah muslim kononnya sempena sambutan hari Yahudi.
Pengarah masjid, Ghassan Rajabi berkata, pihak berkuasa pendudukan memutuskan untuk menutup tapak suci itu kepada jemaah muslim bermula 10 pagi Ahad selama 24 jam.
Bandar Hebron di selatan Tebing Barat adalah rumah kepada kira-kira 160,000 rakyat Palestin dan 800 peneroka haram Israel – yang agresif – dikawal ketat oleh tentera Israel. – Agensi