Berita Utama

Kertas siasatan kes pukul anak tiri diserah kepada Bukit Aman

Polis telah lengkapkan dan hantar kertas siasatan minggu lepas

IPOH, 29 Safar 1444H, Isnin – Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya di Parit Buntar yang tular di media sosial sejak Isnin lepas, kini telah dirujuk kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan dan menghantar kertas siasatan minggu lepas.

“Kini kita tunggu hasil seterusnya,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya hari ini.

Dilapor, polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul anak tirinya, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang telah membuat laporan pada 18 Sept lepas.

Kejadian berlaku pada 11 malam 17 Sept lepas dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut antara pengadu dan ibu kandungnya sebelum suspek bertindak menampar pipi sebelah kiri, menendang bahagian belakang badan dan memijak kepala mangsa.

Susulan kejadian itu, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar sebelum dimaklumkan oleh pihak hospital untuk dirujuk ke Hospital Taiping ekoran mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan.

Motif kejadian berpunca daripada masalah keluarga sehingga menyebabkan pertengkaran manakala siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat anggota atau pegawai polis yang memberi perlindungan kepada suspek, Mohd Yusri berkata hasil siasatan mendapati perkara itu tidak benar sama sekali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button