Berita Utama

Rakyat Malaysia mangsa sindiket kongsi pengalaman hampir dibunuh di Kemboja

Mangsa dipukul tanpa belas kasihan, ditekap objek panas

BANGI, 29 Safar 1444H, Isnin – Seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan serta pemerdagangan manusia berjaya meloloskan diri dari Kemboja selepas hampir dibunuh dan diperlakukan seperti ‘binatang’.

Hanya dikenali sebagai Othman, dia yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan pada mulanya ditawarkan peluang untuk bekerja di sana oleh seorang kenalan.

“Saya ikut kawan saya, dia tawarkan saya kerja tu sebab dapat duit banyak dan bila ikut sampai sana (Kemboja) baru dia beritahu yang itu adalah sindiket penipuan.

“Bila saya minta untuk pulang ke Malaysia mereka minta bayaran AS$15,000 (RM60,000) sebagai wang tebusan dan barulah saya boleh balik.

“Mereka pukul saya tanpa belas kasihan, mereka tekapkan benda panas dekat saya, mereka gari saya dan hampir nak potong jari saya,” katanya seperti dilapor Malakat Tribune, hari ini.

Menceritakan detik hampir dibunuh sindiket itu, Othman berkata, dia telah diacukan pistol, namun bernasib baik apabila menerima panggilan daripada ejennya yang meminta ditukarkan ke tempat lain dan berjaya melarikan diri ke Kedutaan Malaysia.

“Mereka acu pistol dan dah siap gali lubang untuk tanam saya. Nasib baik umur saya masih panjang ejen saya telefon untuk hantar saya ke tempat lain.

“Mereka hantar ke satu hotel dan dari situ baru saya dapat larikan diri,” katanya.

Menurut Othman, dia berjumpa dengan seorang mualaf dan nasib menyebelahinya apabila dibenarkan tumpang di rumah mereka.

“Selepas beberapa hari mualaf itu bawa saya ke kedutaan dan barulah saya diselamatkan,” katanya.

Terdahulu, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara ASEAN diteruskan dengan penyerahan memorandum di Kedutaan Laos di Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, penyerahan memorandum itu tidak mendapat maklum balas positif daripada Kedutaan Laos kerana tiada wakil yang keluar untuk menerimanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button