Berita Utama

RM90.9 juta masuk dalam akaun peribadi Najib pada 2012: Pegawai bank

Dalam perbicaraan kes membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1444H, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM90.9 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi dua transaksi pada 2012.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM15,149,963.64 ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 31 Okt, dan RM75,749,963.64 pada 20 Nov 2012.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi, dengan tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

Transaksi itu adalah berkaitan pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.

Sementara itu Uma Devi berkata pada Nov dan Dis 2011, Najib telah mengeluarkan cek berjumlah RM2,494,000 kepada beberapa pihak.

“Pihak itu ialah Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM494,900), Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn Bhd (RM450,000), Mashi Publication Sdn Bhd (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000),” kata saksi pendakwaan ke-37 itu.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button