Berita Utama

Tiada undang-undang sekat jadi PM berulang kali

Asalkan ada sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat: Takiyuddin

BANGI, 29 Safar 1444H, Isnin – Undang-undang di negara ini tidak menyekat seseorang individu itu daripada menjadi Perdana Menteri untuk beberapa kali.

Justeru, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad boleh memegang jawatan utama itu selagi mana mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang bersedia untuk kembali dilantik menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga jika terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

“Dalam negara kita tiada undang-undang yang menyekat seseorang itu untuk menjadi Perdana Menteri berapa kali pun.

“Empat kali pun boleh, bukan setakat tiga asalkan ada sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat, dia boleh dilantik jadi perdana menteri,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau sebenarnya mahu memilih berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

Namun, jika terus menerima desakan, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak keberatan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak mahu memegang jawatan itu untuk jangka masa panjang dan berkemungkinan besar selama setahun sahaja.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button