Berita Utama

Dialog PEMBELA bersama Muhyiddin ditangguhkan

Tarikh baharu siri dialog ini akan diberitahu kemudian

BANGI, 30 Safar 1444H, Selasa – Penganjuran siri kedua Dialog Parti Politik Melayu-Islam yang dijadualkan berlangsung malam esok (28 September) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dalam satu kenyataan berkata, siri kedua yang sepatutnya diadakan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat dilangsungkan kerana beliau mempunyai komitmen lain pada tarikh yang sama.

“Dukacita dimaklumkan bahawa siri kedua Dialog Parti Politik Melayu-Islam terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Pihak PEMBELA memohon maaf atas segala kesulitan.

“Tarikh baharu siri dialog ini akan diberitahu kemudian,” katanya.

Objektif utama penganjuran ‘Siri Dialog Parti Politik Melayu-Islam’ adalah memberi ruang kepada pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat untuk melihat apakah perancangan, visi dan misi pemimpin parti-parti Melayu Islam sedia ada dalam memperjuangkan agama, bangsa serta tanah air ini.

Menerusi sesi dialog ini, peserta berpeluang bertanyakan soalan secara terus kepada panel serta menyatakan hasrat mereka kepada parti-parti Melayu-Islam yang bakal bertanding.

Terdahulu, siri pertama dialog telah selesai dilaksanakan dengan kehadiran Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad di Hotel Adamson, Kuala Lumpur, Ahad lalu (25 September).

“Alhamdulillah, sesi ini berjalan dengan jayanya dengan pelbagai soalan yang panas dan kritikan dari hati ke hati oleh para pimpinan aktivis NGO yang hadir hari ini,” kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

Manakala siri seterusnya bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang dimuktamadkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button