Dunia Islam kehilangan tokoh jihad menggerunkan Yahudi dan Barat
Beliau berani menyanggahi pandangan dan pendirian salah

1. MENDAPAT perkhabaran pulangnya Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi ke rahmatullah sebelum Maghrib hari ini. Ketika itu saya di dalam kereta sedang bersiap di depan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutung untuk kuliah Maghrib.
2. Segala perkara yang difikirkan hari ini melayang, termasuklah nota kuliah yang sudah disiapkan lewat petang tadi. Sama ada terkejut atau sebak, tidak dapat dipastikan perasaan dalam diri ketika itu. Lalu kuliah Maghrib hari ini hanya bercerita tentang Almarhum Dr Yusuf al-Qardhawi sahaja. Berkongsi apa-apa yang terlintas dari tulisannya dan sejarah hidupnya yang penuh liku-liku.
3. Saya dan rakan-rakan sebaya yang sama-sama belajar di Mesir boleh dikatakan membesar dengan pemikirannya. Buku-bukunya yang banyak, ditelaah satu persatu bahkan ada beberapa yang dijadikan sebagai bahan diskusi beramai-ramai dari kulit ke kulit. Setiap ada kelapangan masa, kami ke maktabah Wahbah atau Darul Wafa untuk mencari bukunya. Setiap kali pesta buku antarabangsa pada bulan Januari atau Februari, buku-buku barunya akan sentiasa dicari.
4. Beliau menulis lebih dari 170 buku. Tulisannya adalah kajian ilmiah yang memberikan pandangan tajam terhadap isu semasa sama ada dalam masalah syariah atau dakwah dan lainnya. Ideanya sentiasa segar dan unik. Bahasanya mudah difahami walaupun membincangkan topik yang berat.
5. Fatwa-fatwanya ditunggu-tunggu oleh semua. Sebahagiannya seperti fatwa tentang operasi berani mati di Palestin memberikan rasa sakit hati kepada Yahudi dan sekutunya. Beliau berani menyanggahi pandangan dan pendirian salah termasuklah dari kerajaan Qatar yang memberikannya kewarganegaraan.
6. Dunia Islam kehilangan seorang ilmuwan yang mempraktikkan ilmunya di alam nyata. Dunia Islam juga kehilangan tokoh jihad yang menggerunkan Yahudi dan Barat. Dunia Islam akan sentiasa merindui susuk tubuh ini yang telah mengasaskan badan ulamak sedunia yang menggabungkan ulamak dari segenap ceruk rantau pelbagai bangsa bernaung di bawahnya. Dunia Islam akan rasa kekosongan apabila tiada lagi fatwa-fatwanya merungkaikan permasalahan semasa.
7. Moga Allah merahmati ruhnya dan menempatkannya di dalam nikmat abadi di alam barzakh sebelum nantinya dianugerahkan syurga seluas langit dan bumi.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)