‘Langgar’ Tok Mat, GTA cadang Hamid Bador calon PRU di Rembau
Hanya Tun M dapat pujuk Hamid untuk turun bertanding

BANGI, 30 Safar 1444H, Selasa – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador disifatkan sebagai tokoh terbaik untuk dipilih menjadi calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menyelamatkan negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, pihaknya menginginkan Hamid bertanding di Parlimen Rembau.
Bagaimanapun, hanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang dapat memujuk Hamid untuk bertanding.
“Saya ada memberikan pandangan kepada Timbalan Pengerusi GTA Mukhriz Mahathir. Kalau GTA mahu menang dan kembali selamatkan negara, Hamid adalah orangnya.
“Memang ada usaha menjadikan Hamid sebagai calon tetapi yang boleh ‘pujuk’ beliau hanya Mahathir seorang sahaja,” katanya seperti laporan di Utusan Malaysia, hari ini.
Mohamad Jani berkata, GTA perlu mengetengahkan individu mempunyai nama besar bagi mencipta kejutan pada PRU15.
“Di Rembau bukan senang untuk kalahkan Mohamad Hasan, tetapi kami perlu ada strategi bagaimana mahu ‘langgar’.
“Jika diletakkan Hamid, tentu ada peluang dan tembok itu boleh dipecahkan,” katanya.
Katanya lagi, walaupun Hamid bukan ahli Pejuang tetapi GTA memberi ruang kepada semua, termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional serta individu tertentu yang mempunyai nama besar.
Sebelum ini Hamid antara tokoh terkemuka yang disebut-sebut dan sesuai menjadi calon pada PRU15.
Hamid yang kini menetap di Rembau dan aktif dalam bidang pertanian selepas bersara mempunyai hubungan yang rapat dengan Dr Mahathir.