Berita Utama

Muhyiddin, Abdul Hadi adakan pertemuan perkukuh kerjasama PN

‘Banyak perkara dipersetujui dalam pertemuan malam tadi’

 

BANGI, 30 Safar 1444H, Selasa – Kerjasama antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) nampaknya semakin kukuh dengan pertemuan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin and Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selama dua jam malam tadi.

Dalam catatan di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata, mereka telah bersetuju dalam beberapa isu untuk memperkukuh PN sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman Muhyiddin.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN (Perikatan Nasional) dalam menghadapi PRU15,” kata Muhyiddin.

Terdapat cakap-cakap awal minggu lalu bahawa Abdul Hadi telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini untuk melihat sama ada terdapat peluang menghidupkan semula hubungan Muafakat Nasional (MN) yang semakin pudar antara kedua parti.

Laporan media menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Muhyiddin kemudian menyatakan bahawa beliau mahu bertemu Abdul Hadi untuk mengetahui apa yang berlaku.

MN ialah kerjasama longgar antara UMNO dan PAS yang dibentuk selepas pilihan raya umum lalu untuk mengukuhkan perpaduan parti politik Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, PAS kemudiannya menyertai gabungan PN pada 2020, yang ketika itu dianggotai Bersatu, Sabah STAR, SAPP dan Gerakan.

Ini menimbulkan kemarahan UMNO kerana parti itu sentiasa melihat Bersatu sebagai parti saingan Melayu utamanya selepas PAS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button