Berita Utama

Bajet 2023, isu banjir dan ekonomi cabaran terbesar kerajaan

Kembalikan kepercayaan rakyat yang semakin menipis

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Sekiranya kerajaan dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri gagal menangani permasalahan rakyat, tidak mustahil kerajaan baharu akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, cabaran terbesar kerajaan yang terdekat ialah Bajet 2023, musim banjir serta kemungkinan kemelesetan ekonomi – yang dijangka berlaku tahun hadapan.

Justeru, kerajaan Keluarga Malaysia harus membuktikan kemampuan mereka mengurus ketiga-tiga perkara ini bagi mengembalikan kepercayaan rakyat yang semakin menipis.

“Ini ialah perjuangan hidup mati.

“Jika gagal, rakyat akan memilih kerajaan baharu yang lebih baik dalam PRU15 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, penganalisis menjangkakan, Malaysia berdepan persekitaran amat mencabar tahun hadapan dengan ekonomi berkembang perlahan.

Bagaimanapun ia tidak sehingga berlaku kemelesetan meskipun ekonomi Amerika Syarikat (AS) diramal menguncup.

Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan berkata, pihaknya tidak menjangkakan kemelesetan berikutan sokongan daripada kepelbagaian ekonomi negara ini, di samping persekitaran kadar inflasi yang rendah disokong oleh subsidi kerajaan dan pemulihan ekonomi domestik.

Katanya, sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sebab utama untuk penilaian lebih rendah membabitkan Indeks FBM KLCI berbanding negara serantau adalah ketidakpastian politik domestik dan kekurangan hala tuju strategik.

“Dengan semua parti politik utama di Semenanjung mempunyai pengalaman mengemudi Kerajaan Persekutuan secara bersendirian atau menerusi pakatan sebelum ini, kami tidak menjangkakan perubahan ketara dalam dasar ekonomi selepas PRU15, tidak kira siapa yang menang.

“Justeru, secara asasnya, saham kitaran kukuh yang murah dan menawarkan potensi pertumbuhan yang baik sepatutnya kekal dalam radar pelaburan walaupun terdapat daya tarikan semasa untuk (saham) defensif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button