Berita Utama

Beri tekanan pada GLC jika mahu bahasa Melayu dimartabat

'Integrasi kaum melalui politik matangkan rakyat'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berpandangan bahawa integrasi kaum di Malaysia boleh dianggap berjaya terutama dalam kerjasama politik.

Beliau berkata, kerjasama yang terbentuk di dalam politik adalah unik berlaku antara kaum, meskipun banyak percaturan dan pergeseran, namun ia masih meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang mantap.

Prof Wan Hashim membandingkan suasana hubungan antara kaum yang berlaku pada tahun 1969 dan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekitar empat tahun lalu.

“Saya teringat pada 1969 dibandingkan dengan 2018, 1969 BN atau Perikatan belum kalah lagi tetapi sudah berlaku rusuhan merata-rata.

“Tetapi pada 2018, kejatuhan kerajaan yang begitu lama memimpin (negara), tetapi tiada riot apa-apa pun. 

“Kita dengar ada askar dan polis ke Putrajaya tapi tak ada apa pun,” katanya pada Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbezaan dua tempoh itu menunjukkan rakyat di negara ini sudah sampai ke satu tahap kematangan yang jauh lebih baik berbanding tahun 1969.

“Jadi apa yang perlu diharungi pada masa akan datang ini, kita teruskanlah usaha-usaha kita memartabatkan bahasa.

“(Ini termasuk) bagaimana kita nak mewujudkan pendidikan satu aliran,” katanya.

Menurut Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diberi tekanan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita perlu tekan mereka (GLC) supaya menggunakan bahasa Melayu dalam urusan seharian terutamanya dalam minit-minit mesyuarat.

“Saya rasa mereka masih gunakan bahasa Inggeris, ini suatu yang malang bagi kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button