Berita Utama

Khaled bidas Muhyiddin jangan bersikap baling batu sembunyi tangan

Berhak kemuka pandangan tapi tak semestinya dilaksana automatik

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Sikap menuding jari Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya sendiri.

Demikian dakwa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan Presiden Bersatu yang mengakui kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama diusulkan MPN dilaksanakan kerajaan.

Khaled berkata, bekas Perdana Menteri itu seolah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang kerajaan hadapi hari ini adalah diwarisi dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khaled menegaskan, Ahli Parlimen pagoh itu sememangnya berhak mengemukakan segala pandangan namun terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya.

Malah, kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. Hanya kerana cadangan tersebut datang dari MPN maka tidak semestinya dilaksanakan secara automatik.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, seharusnya Muhyiddin bertindak dalam semangat kolektif berikutan dirinya adalah sebahagian dari kerajaan.

Dilaporkan, 30 daripada 69 perakuan MPN masih dalam pelaksanaan, 14 lagi belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.

Antara perakuan utama dikemukakan MPN yang prestasi pelaksanaannya tidak memuaskan, termasuk berkaitan isu kekurangan tenaga kerja asing, terutama bagi Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button