Berita Utama

PAS Sabah letakkan PH ‘lawan’ utama

Pentadbiran 22 bulan gagal, tak bijak urus negara

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – PAS Sabah menasihati supaya setiap parti mengenali lawan yang sebenar kerana pertembungan sesama sendiri hanya memberi keuntungan mudah kepada mereka.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS sehingga kini meletakkan lawan utama adalah Pakatan Harapan (PH).

Pemerintahan parti berkenaan selama 22 bulan menunjukkan pelbagai kegagalan dan seolah-olah tidak bijak menguruskan negara.

Justeru, pendirian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya umum ke-15 disifatkan sebagai tindakan bijak dan matang.

“Dalam politik, kita perlu mengenali siapa lawan sebenar. Pertembungan sesama sendiri pasti akan memberi keuntungan mudah kepada parti lawan.

“Pendirian berkenaan juga diyakini menggerunkan pihak lawan berikutan gabungan parti politik dalam GRS dan BN telah menjadi semakin kuat dan kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Aliakbar menjelaskan PAS akan terus konsisten dengan usaha ke arah perpaduan dan kesatuan demi memperjuangkan kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

Pada masa sama Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, memberi jaminan untuk memberikan sokongan penuh kepada calon BN pada PRU-15.

Hajiji sebelum ini dilaporkan berkata, GRS dan BN telah berjanji untuk bekerjasama membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada rakyat Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button