Perkasakan bahasa Melayu melalui talian budaya: Rais Yatim
Trend tunjukkan kemungkinan budaya kita ditenggelami cara hidup Barat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Sudah terbukti zaman berzaman bahawa bangsa yang mempunyai set minda yang tinggi akhirnya mempunyai pendidikan bertaraf tinggi.
Sementara mereka yang tidak mempunyai pemikiran tinggi dalam minda tinggi pula tidak melahirkan tamadun tinggi, demikian tegas Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Justeru, beliau berkata, negara ini harus memilih pendidikan yang mampu membawa kepada kehidupan yang berpaksikan cara hidup kekitaan.
“Untuk mencapai ini, bahasa kita, bahasa Melayu mesti diterap dengan kemampuan ilmu.
“Subjek sains, matematik dan kemanusiaan, misalnya, harus ditampakkan sebagai bergandingan untuk mewujudkan tamadun tinggi satu-satunya yang semestinya mengandungi budaya tinggi.
“Ini bererti jika hendak mewujudkan masyarakat sivil dan berbudaya tinggi, kualiti hidup mesti tinggi dan kewajipan kemanusiaan terkandung di dalam sistem pendidikannya,” katanya dalam pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Minda Melayu: Pendorong Pembentukan Tamadun Tinggi’.
Beliau berkata demikian dalam Kongres Antabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Rais Yatim berkata, untuk capaian sedemikian, bukan bahasa dan universiti Barat sahaja yang mampu dan boleh mencetuskan pelajaran atau pendidikan ilmu sejagat yang tinggi mutu serta kualitinya.
Malah, di Malaysia atau di Indonesia mesti mampu mewujudkan pendidikan berpotensi tinggi juga.
“Trend yang ada kini menampakkan kemungkinan budaya kita di timur akan ditenggelami oleh ilmu dan cara hidup Barat melalui asuhan bahasa, invensi canggih, fesyen, hiburan, seni digital sambil melupai siapa kita dan apa sebenarnya kita boleh cetuskan sebagai ilmu.
“Dalam proses ini jati diri Melayu akan terumbang-ambing kerana tidak nampak lagi bahtera sejahtera di lautan sendiri,” katanya.
Walhal, tegasnya, sebagaimana orang Inggeris United Kingdom dan Amerika bersatu hati dalam banyak hal pembudayaan, misalnya bahasa Inggeris, budaya Inggeris, industri dan perdagangan.
Maka, tidak ada sebab kenapa konsep Melayu Raya atau Kenusantaraan Benua Sunda tidak dapat dialami semula dengan tenaga pembudayaan.
“Bermakna dengan tenaga fikir melalui bahasa Melayu, DNA Benua Sunda yang diselidiki dan dijitukan ‘Oppenheimer’ itu, kita di Malaysia dan Indonesia khasnya dan di beberapa negara ASEAN amnya boleh mengumpul tenaga DNA pembudayaan kembali.
“Perkasakan Bahasa Melayu
terus dengan talian budayanya. Pendekatan yang wajar diteliti sebagai media lisan utama dalam kehidupan Melayu lama ialah melalui bahasa lisan seperti perumpamaaan, peribahasa, tamthil, seloka, gurindam, syair dan pantun.
“Walaupun gurindam dan seloka dikatakan berasal dari lisan Sanskrit dan Palava dari benua India, pantun tetap dianggap sebagai sastera lisan agung Melayu yang dicetuskan oleh minda Melayu yang hebat,” katanya.