Berita Utama

Perlu orang tengah, jika tidak PAS-Bersatu makin parah

PAS kena tegas pendirian supaya tak dimanipulasi lawan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Hubungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin rumit, yang mana memerlukan campur tangan orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian.

Kriteria orang tengah itu mestilah berkecuali, tidak memihak kepada mana-mana kumpulan, bukan orang politik, berada di luar parti dan dihormati kedua-dua pihak, demikian cadangan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

“Saya berpandangan tokoh yang berpengaruh dan bebas platform politik sesuai dipanggil untuk menjadi pemecah kepada masalah ini.

“Boleh jadi orang tengah dan penyelesai masalah bagi mengelakkan keadaan yang lebih parah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

PAS dilaporkan akan memuktamad hala tuju kerjasama politik parti itu dalam masa terdekat sama ada untuk terus bersama UMNO atau Perikatan Nasional (PN).

Hubungan kedua-dua parti kelihatan tegang apabila PAS mengkritik kenyataan Muhyiddin yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama dalam menghadapi PRU15.

Sementara itu, mengulas mengenai PAS, Dr Mohammad Tawfik yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) berkata, PAS kini perlu bertegas dalam membuat pendirian supaya tiada pihak lain mengambil kesempatan.

Katanya, PAS kini dilihat tidak ketegasan sehingga membuka ruang dan peluang kepada parti politik lain mengambil kesempatan.

“Kalau kita tengok sejarah politik PAS, sekejap dengan Pakatan Rakyat kemudian pergi kepada Keluarga Malaysia dan PN.

“Jadi PAS perlu tentukan ketegasan parti itu kerana sekiranya berterusan diyakini memberi peluang untuk dimanipulasi lawan.,” katanya.

Beliau berpandangan, buat masa ini, PAS perlu melupakan sementara hubungan sentimental dengan Bersatu sebaliknya bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya terus dengan PN kita dapat lihat dan telah terbukti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang masing-masing tidak memihak kepada PAS.

“Sekali pun hanya berdasarkan hubungan sentimental antara PAS dengan Bersatu yang bagi ruang kepada parti itu untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet jemaah menteri namun itu bukan alasan kukuh untuk terus selama-lamanya dengan Bersatu.

Justeru beliau menasihati supaya PAS maju ke depan dan lihat semula hubungan BN dan UMNO yang kini telah melakukan pembaharuan.

https://ismaweb.net/2022/09/27/pas-muktamadkan-hala-tuju-kerjasama-politik-dalam-masa-terdekat-muhyiddin/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button