Berita Utama

Zahid tempelak Muhyiddin, MPN perlu dibubar

Bertindih dengan fungsi badan pemikir, agensi kerajaan lain

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin melemahkan peranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) selain fungsinya yang bercelaru.

Meskipun MPN dianggotai oleh pakar-pakar, namun keberadaan Pengerusi MPN yang bukan Ketua Eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang ‘political will’ dan mungkin juga dilihat tidak perlu, katanya.

Justeru, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengulangi pendirian supaya MPN dibubarkan kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi-agensi kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

“Menteri Kabinet pula sentiasa menyelaras fungsi-fungsi agensi dan membawa sebarang dasar yang dicadangkan di peringkat kementerian untuk dipertimbangkan oleh Kabinet sebelum dilaksanakan.

“Itu sahaja sudah mencukupi untuk kerajaan berfungsi dan berjalan dengan baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kekecewaan diluahkan Muhyiddin kerana beberapa cadangan MPN demi kepentingan negara, terutamanya dalam soal pengurusan ekonomi, tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, daripada 65 perakuan MPN berkaitan isu-isu utama berkaitan pengurusan ekonomi dan sumber manusia, hanya 16 perakuan, atau 23.5 peratus yang telah selesai dilaksanakan.

Baki 30 perakuan (43.5 peratus) pula, katanya lagi, masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3 peratus) belum dilaksanakan, atau tidak maklum balas Kabinet atau agensi berkaitan, dan sembilan lagi perakuan (13 peratus) masih menunggu keputusan Kabinet.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menasihati Muhyiddin supaya tidak perlu berkeluh-kesah seakan kerajaan telah menidakkan peranan MPN atau telah gagal.

“Dengan kerajaan yang telah melaksanakan 16 daripada 69 cadangan majlis itu sendiri menunjukkan bahawa kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia memerlukan kestabilan politik sebagai ramuan utama sebelum pelbagai bentuk polisi yang bermakna dapat dibentuk.

Oleh itu, beliau memberi jaminan bahawa MPN atau majlis seakannya tidak lagi diperlukan dan sinergi tersusun antara kerajaan, sektor swasta dan ahli-ahli akademik serta NGO akan terus dirintis bagi membangunkan Malaysia tercinta sekiranya Barisan Nasional (BN) raih kemenangan majoriti pilihan raya nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button