Dituduh terbabit keganasan, India haramkan kumpulan Islam PFI
Didakwa ada kaitan dengan pengganas global, militan ISIS

NEW DELHI, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – India mengisytiharkan kumpulan Islam – Barisan Popular India (PFI) – dan sekutunya diharamkan selama tempoh lima tahun kerana dituduh menyalahi undang-undang serta terbabit dalam keganasan.
Keputusan itu dibuat Kementerian Dalam Negeri India selepas pihak berkuasanya menahan lebih 100 ahli PFI bulan ini.
“PFI dan sekutunya telah didapati terlibat dalam kesalahan serius, termasuk keganasan dan pembiayaannya, menyasarkan pembunuhan mengerikan, tidak mempedulikan perlembagaan yang ditetapkan,” kata kementerian pada Rabu.
Kenyataan itu berkata, kerajaan telah mengharamkan PFI dan sekutunya iaitu Yayasan Rehab India, Barisan Kampus India, Majlis Imam Seluruh India, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Konfederasi Kebangsaan, Barisan Wanita Kebangsaan, Barisan Muda, Yayasan Empower India dan Yayasan Rehab, Kerala.
Kerajaan mendakwa, menemukan beberapa kaitan hubungan antarabangsa PFI dengan kumpulan pengganas global, di mana beberapa anggotanya didapati menyertai kumpulan bersenjata ISIS dan mengambil bahagian dalam aktiviti keganasan di Syria, Iraq serta Afghanistan.
PFI wujud pada akhir 2006 untuk menentang kumpulan nasionalis Hindu dan dilancarkan secara rasmi pada tahun berikutnya dengan penggabungan dua pertubuhan lain yang berpangkalan di selatan India.
Sementara itu, PFI menafikan tuduhan keganasan dan aktiviti anti-nasional terhadap pertubuhannya apabila pejabat diserbu serta puluhan anggota ditahan di pelbagai negeri.
Peguam PFI, Mohammed Tahir berkata, kerajaan gagal mengemukakan bukti bahawa pertubuhan itu menerima wang dari luar dan membiayai aktiviti keganasan di India atau menganjurkan rusuhan di bandar serta serangan terhadap pertubuhan Hindu.
Umat Islam – yang menyumbang lebih 14 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India – mengadu telah dipinggirkan di bawah pemerintahan Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Perdana Menteri, Narendra Modi.- Agensi