Berita Utama

Dunia Timur perlu pusat pengajian cemerlang sendiri, tak hanya tumpu Barat

Tak perlu berderet ambil sarjana di Oxford, Cambridge, London, Yale dan Boston

 

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Dunia Timur termasuk Malaysia dan Indonesia mesti mewujudkan pusat-pusat pengajian tinggi cemerlang sendiri dengan kerjasama China, Russia, Jepun, Korea dan lain-lain.

Langkah ini supaya satu hala pengajian yang ada di Barat kini dapat diimbangi dari pelbagai sudut dan aspek, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

“Bagi generasi mendatang Malaysia tidak harus berpeluk tubuh dan terus berderet mengambil sarjana daripada universiti di Barat seperti Oxford, Cambridge, London, Yale dan Boston. 

“Ilmu dari sebelah sana harus diadunkan dengan di China, Jepun dan Korea. Dari sudut pembudayaan, Timur akan beroleh perimbangan setimpal dengan yang ada di Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekitar 400 ke 500 orang graduan pengajian tinggi yang pulang saban tahun dari pusat pengajian tinggi Barat kini boleh dinilai berapa yang masih tebal pegangan budaya dan bahasa Melayunya.

”Kita tidak pernah membuat penelitian ini. Tahun demi tahun dalam zaman mendatang banyak sifat asas masyarakat Malaysia akan berubah pengamatan dan amalan budayanya, bahasanya, anggapannya terhadap world view atau tanggapan dunia,” katanya.

Dr Rais Yatim berkata, amat mudah difahami senario sesebuah negara yang begitu taksub dengan kemampuan universiti Barat sehingga 500 orang setahun yang pulang ke Malaysia dari Amerika, United Kingdom, Eropah akan mempunyai kecenderungan mengagungkan alma mater dan ilmu mereka masing-masing ceduk sehingga jati diri asal tertinggal. 

“Mereka lulusan Oxford, London, MIT, Harvard, UCLA, Boston dan lain-lain tentunya akan meneruskan bahasa Inggerisnya dengan cara alma maternya ke tahap lingua franca dan perhubungan sesama sendiri. 

“Bercakap separuh Melayu dan separuh Inggeris akan berterusan. Dalam pada itu ilmu cambahan dalam negara kita tidak menokok sebab kita sentiasa meniru orang,” katanya.

Oleh kerana pengaruh bahasa Inggeris dari segi subjek sains dan matematik serta teknologi berterusan, beliau berkata, sepatutnya para tenaga pengajar yang pulang dari Barat harus diolah langkah menerbitkan asuhan pendidikan dalam bahasa dan budaya Melayu. 

“Tetapi budaya Melayunya tentu menipis justeru jati dirinya akan lebih cenderung kepada pendidikan Baratnya. 

“Jika mengaji di Mesir atau China trend ini juga akan sama. Namun hasilnya ialah dari segi sebenar budaya Amerika, Britain, Kaherah, Shanghai, Jepun dan Korea berosmosis dengan ilmu masing-masing. 

“Yang penting Malaysia beroleh kepakaran dan bancuhan jati diri baru. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia harus berdepan dilema ini,” katanya.

Sementara kecenderungan ini tidak dapat diubah secara paksaan kerana adanya kebebasan memilih institusi pengajian masing-masing, suatu usaha perimbangan amat perlu dilakukan, tegasnya.

“Langkah pertama ialah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di samping kebolehan berbahasa Inggeris dan Mandarin atau Tamil. 

“Minda ke arah ini mesti menebal dan beroperasi menerusi Kementerian Pendidikan, jika mahukan zaman hadapan berteraskan jati diri, ilmu berteraskan bahasa Melayu dan meningkatkan tamadun berasaskan bahasa.

“Di peringkat ini, hakikatnya tamadun tinggi akan hanya dicapai jika bahasa sesuatu bangsa itu terus maju dan beroleh taraf bahasa ilmu.

“Memperkasakan bahasa kebangsaan sesuatu negara ke tahap bahasa ilmu amat sukar dalam jangka pendek dan memerlukan pengorbanan efikasi politik – satu-satunya jentera sosial yang mampu mengubah fabrik tamadun negarabangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button