Berita Utama

Jawatankuasa teknikal teliti isu kekurangan bekalan telur

Mesyuarat akan diadakan dengan persatuan penternak telur

PUTRAJAYA, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Isu kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di sesetengah kawasan, akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Isnin ini (3 Okt), kata anggota pasukan khas itu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ke-19 di sini hari ini, beliau berkata pasukan itu telah diberi laporan berhubung kekurangan bekalan telur gred A,B,C dan D di pasaran.

“Mesyuarat akan diadakan dengan persatuan penternak telur dan agensi berkaitan, antara lain mencari punca dan jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekalan telur sukar didapati di Langkawi, Kedah; Jerantut, Pahang; dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof baru-baru ini dilaporkan berkata masalah kekurangan bekalan telur ayam bukan satu krisis, tetapi disebabkan masalah teknikal, selain memberi jaminan isu berkenaan akan dapat ditangani dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Mustapa berkata bekalan dan harga ayam di peringkat borong dan runcit berada dalam keadaan stabil, dengan harga purata ayam standard bersih berada pada paras RM8.78 sekilogram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button