Khairy lulus segera peruntukan perbesar klinik ibu dan anak di Dengkil
Akan ada berita baik buat warga Cyberjaya dalam tempoh seminggu dua lagi

DENGKIL, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Dengkil di Jalan Besar, mengambil maklum akan kekurangan di premis itu termasuk masalah kesesakan.
Prihatin akan perkara tersebut, beliau meluluskan segera peruntukan untuk memperbesarkan bangunan untuk klinik ibu dan anak serta beberapa kemudahan lain termasuk mesin ‘ultrasound’ dan ‘biochem’.
“Spot check di Klinik Kesihatan Dengkil. Walaupun perkhidmatan yang diberikan adalah baik, tapi kawasan sesak, waktu menunggu lama dan parking tak cukup.
“Saya meluluskan segera extension bangunan untuk klinik ibu dan anak, mesin ultrasound dan biochem. Banyak pelaburan diperlukan untuk meningkatkan khidmat kesihatan primer.
“Saya setuju Dengkil perlu ada klinik kesihatan yang baharu namun, tambah baik bangunan sedia ada cuma penyelesaian jangka pendek. Klinik kesihatan baharu akan dimohon jua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau turut memaklumkan ada berita baik bagi warga Cyberjaya dalam tempoh seminggu dua lagi dipercayai berkaitan dengan operasi Hospital Cyberjaya.
Sebelum ini, Khairy pernah melakukan lawatan mengejut ke beberapa klinik kesihatan lain di seluruh negara bagi meninjau sendiri keadaan sebenar fasiliti itu.