Berita Utama

Malaysia berdepan masalah kekurangan pakar arkeologi

Pembangunan infrastruktur negara lebih diutamakan berbanding pembangunan sosial

Oleh Zuhayati yazid

BANGI, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Malaysia kekurangan pakar arkeologi tempatan yang boleh meneruskan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan peninggalan warisan susulan ketiadaan tempat asas pendidikan ditawarkan di negara ini.

Tiada pendedahan yang meluas juga adalah antara faktor menyebabkan bidang ini tidak dikenali selain kurang mendapat perhatian masyarakat, kata Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Asyaari Muhammad.

“Kita kini giat mencari pelapis golongan muda terutama yang berminat melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah bagi membuat penyelidikan dalam bidang ini supaya pemuliharaan warisan dan khazanah negara terus terbela.

“Jika dahulu UKM merupakan universiti tempatan yang menawarkan bidang ini secara profesional tetapi apabila berlaku penstrukturan semula, bidang ini diserap ke bahagian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cabaran Arkeologi di Malaysia: Pembangunan Vs Warisan sempena Kongres Antarabangsa Bahasa & Tamadun Alam Melayu, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pemuliharaan dan penjagaan warisan kini semakin dipinggirkan malah negara sendiri lebih mengutamakan pembangunan infrastruktur berbanding sosial yang melibatkan nilai-nilai rohani, bahasa, warisan serta tinggalan sejarah.

Tegas Prof Asyaari, situasi berkenaan jauh dilihat berbeza dengan negara luar contohnya Turki yang sangat menghargai warisannya selari mengejar kemodenan semasa.

Terbaharu penemuan tapak arkeologi zaman Neolitik di Turki membuktikan negara tersebut menghargai dan membangunkan semula tapak berkenaan sejajar dengan kemodenan negara itu hari ini.

“Lebih membanggakan kajian berkenaan bukan sahaja melibatkan pakar arkeologi negaranya sendiri tetapi turut mendapat sokongan pakar sejarah dari seluruh dunia.

“Namun berbeza di negara ini yang tidak melihat kepentingan pemuliharaan warisan berkenaan, apalah yang mahu dibangunkan kerana terlalu lama iaitu lebih 12,000 tahun.

“Yang ditemui juga hanyalah batu dan rumah-rumah lama, artifak lama seperti seramik, tembikar yang disifatkan sebagai penemuan tidak bernilai,” katanya.

Sedangkan, kata Prof Asyaari lagi, penemuan berkenaan banyak memberi implikasi terutama pembangunan negara selain mampu menjana pendapatan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button