Berita Utama

Pelitup muka tak lagi wajib di masjid bawah Jawi

Berkuat kuasa esok, tapi individu bergejala digalakkan pakai

BANGI, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa esok.

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), ketetapan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, meskipun pelitup muka tidak lagi diwajibkan, pemakaiannya di dalam masjid dan surau masih digalakkan.

“Manakala individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka.

“Marilah kita semua berusaha untuk mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa bersama-sama ahli keluarga dan jiran tetangga agar kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dibina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button