Berita Utama

Zahid gesa laporan siasatan buku Tommy Thomas didedah umum

Bimbang Kabinet cuba tutup fakta kerana ada anggota dari kerajaan PH

BANGI, 2 Rabiulawal 1444H, Khamis – Pasukan Petugas Khas yang menyiasat buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas wajar mendedahkan laporan hasil siasatannya kepada umum.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendedahan laporan itu penting kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara ‘lantikan politik’ itu.

Beliau berkata, laporan pasukan yang ditubuhkan kerajaan itu juga penting kerana berpotensi mendedahkan mengenai isu pendakwaan terpilih yang berlaku ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.

“Jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi ‘dimanakah kertas siasatan kes Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali’ boleh berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Ogos tahun lalu meminta supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu.

“RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus,” katanya.

Beliau juga berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan dalam tempoh terdekat, tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta berkenaan.

“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan ‘bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasukan petugas khas menyiasat buku memoir Tommy Thomas tidak menolak kemungkinan wujud salah laku oleh bekas Peguam Negara itu ketika memegang jawatan berkenaan.

Memetik Malaysiapost, Pasukan Petugas Khas mengesyorkan Jabatan Audit Negara (JAN) serta agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button