Berita Utama

Polis siasat dakwaan penculikan di Johor Bahru

Kesan kes cubaan culik seorang pelajar sekolah tadika

JOHOR BAHRU, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Polis menyiasat dakwaan berlakunya kes penculikan di dua kawasan di bandar raya ini seperti yang tular di aplikasi WhatsApp, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata pihaknya mengesan satu mesej yang mendakwa berlaku kes cubaan menculik seorang pelajar sekolah tadika di Bandar Baru Uda di sini.

Katanya, hantaran itu turut menyatakan bahawa kes penculikan sering berlaku di Taman Perling dan Bandar Baru Uda yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai disertai oleh sekumpulan individu dan komuniti setempat, polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu telah ditemu bual.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang aduan tentang berlakunya kejadian tersebut dan tiada individu yang tampil ke hadapan bagi mengesahkan adanya cubaan menculik atau kehilangan anak seperti didakwa kumpulan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya mesej tular yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Fariz Ammar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak sahih.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button