Berita Utama

Selangor sudah 80 peratus bersedia hadapi banjir

Kerajaan negeri mahu elak kejadian kehilangan nyawa seperti sebelum ini

SHAH ALAM, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor sudah melakukan persediaan sebanyak 80 peratus bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku dalam bulan mendatang.

Beliau berkata, persediaan yang lengkap termasuk meletakkan peralatan dan aset diperlukan untuk menyelamat di setiap daerah di negeri ini sudah dilakukan.

“Baki 20 peratus lagi melibatkan tindakan sebenar seperti melaporkan insiden secara berkesan (kepada agensi berkaitan),” katanya.

Amiruddin berkata, negeri ini banyak belajar daripada banjir tahun lepas yang menyaksikan kehilangan nyawa serta harta benda, dan akan diperbaiki dengan sewajarnya.

“Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi Persekutuan dan negeri supaya bersiap sedia menghadapi sebarang banjir bermula dari sekarang.

“Kami mahu mengelak kehilangan nyawa seperti kejadian banjir sebelum ini,” katanya.

Menurut Amirudin, Selangor telah memperuntukkan RM5 juta sekiranya banjir berlaku, yang mana RM4 juta adalah daripada dana COVID-19 yang disumbangkan oleh orang ramai dan baki RM1 juta daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai program latihan dan simulasi sedang dimulakan oleh kerajaan Selangor bagi melatih semua kakitangan dan agensi berkaitan agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Salah satu acara tersebut ialah program latihan dan simulasi bencana selama dua hari yang dilancarkan oleh Amirudin.

Latihan simulasi itu juga menekankan kepada koordinasi dan sinkronisasi semua agensi berkaitan yang terlibat dalam kerja bantuan.

Program simulasi dan latihan itu juga bertujuan untuk menambah baik prosedur operasi standard yang berkaitan dengan menyelamat mengikut prasyarat Majlis Keselamatan Negara.

“Ini bagi membolehkan bencana dikendalikan dengan cepat dan cekap bagi mengelak kehilangan nyawa. Dalam bencana, mencari dan menyelamat mesti dimulakan segera,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan 15,972 kakitangan daripada 67 agensi Persekutuan dan negeri untuk bertugas menghadapi banjir.

Beliau berkata, kira-kira 2,611 aset kerajaan termasuk bot, pacuan empat roda, lori, jet ski dan jengkaut turut siap.

Seramai 343 kakitangan daripada 67 agensi Persekutuan dan negeri menghadiri program yang bermula pada Rabu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara telah mengumumkan baru-baru ini bahawa lapan daripada sembilan daerah Selangor – Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor – telah dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran berkata, hanya daerah Hulu Selangor tidak termasuk dalam senarai kawasan ‘hot spot’. 

Sebanyak 52 ‘hot spot’ di negeri ini juga dikenal pasti terdedah kepada banjir teruk.

Dalam banjir tahun lepas di Selangor, 25 orang kehilangan nyawa manakala banyak rumah dan harta benda musnah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button