Berita Utama

UMNO wajar jalin kerjasama dengan parti lain, tak kuat seperti dulu

Bawa masuk semula pemimpin bermasalah hanya timbul polemik: Ku Li

BANGI, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Sekiranya berhasrat kembali menerajui pentadbiran negara, UMNO wajar menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.

Ini kerana parti keramat Melayu itu sudah kehilangan taring dan tidak sekuat sebelum ini lagi, demikian pandangan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita kena bekerjasama dengan orang lain kerana kita tiada lagi kekuatan seperti dulu.

“Saya sudah cakap dulu kita mempunyai 13 rakan dalam parti. Tetapi sekarang banyak daripada anggota-anggota yang pernah menjadi rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) sudah tarik diri.

“Jadi kekuatan dah hilang dan parti-parti yang masih kekal dengan kita sudah tidak ada kekuatan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menjelaskan, UMNO kini berdepan pelbagai isu sehingga pemimpin lain sudah tidak mampu bertemu dan menjawab persoalan rakyat.

Lebih menggusarkan lagi kata bekas Menteri Kewangan itu, apabila terdapat dalam kalangan pemimpin parti mempunyai masalah dengan mahkamah dan ada sudah berdepan dengan tindakan.

“Jadi mana kekuatan kita, orang kita nak masuk kedai kopi pun takut diejek orang dan sebagainya, jadi masih mahu bergerak solo?,” persoal beliau.

Beliau pada masa sama berpandangan, kemasukan semula pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat salah guna kuasa dan rasuah dalam PRU15 diyakini menimbulkan banyak polemik.

Katanya, walaupun tidak mempunyai kuasa menentukan namun beliau membayangkan tindakan berkenaan perlu dielak dan digantikan calon lain yang lebih layak serta berwibawa.

“Saya tak ada kuasa nak menentu (pemimpin terlibat kes rasuah), tetapi kalau kita pandang dari segi umumnya tak layak.

“Tindakan ini dilihat menjejaskan imej parti itu sendiri selain jadi bahan ketawa serta percakapan orang, kita sebenarnya ada ramai calon lain yang boleh dikemukakan,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button