Berita Utama

Zahid bayangkan PRU15 sebelum musim banjir

Musuh UMNO sedar jika Parlimen dibubar, mereka paling tak sedia

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum bermulanya musim banjir.

“Pilihan raya ketika menjelang musim banjir, bukanlah bermakna pilihan raya diadakan pada musim banjir melanda seluruh negara. 

“Insya-Allah pilihan raya akan diadakan sebelum itu lagi,” kata Ahmad Zahid dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau juga mendakwa parti pembangkang menjadikan banjir sebagai alasan untuk menangguhkan PRU15 kerana takut UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapat kelebihan dalam pilihan raya.

“Pembangkang dan musuh UMNO dan BN tahu jika Parlimen dibubarkan, mereka dalam keadaan paling tidak bersedia untuk menghadapi rakyat dan tidak ada mekanisme dan jentera untuk membolehkan mereka bergerak dengan berkesan seperti BN khususnya.

“Mereka sedar walaupun Parlimen bubar, Perdana Menteri ‘care taker’ ialah daripada UMNO dan BN yang bakal menjalankan fungsi sebagai kerajaan sementara. Bermakna Perdana Menteri BN masih berkuasa sehingga kerajaan baharu dibentuk.

“Dari segi kuasa dan kawalan terhadap banjir pada musim tengkujuh, Perdana Menteri masih ada kuasa dan sukar pula pembangkang menonjolkan peranan mereka apabila musim tengkujuh. Ini menyebabkan pembangkang berasa sangat terkesan,” dakwanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dek kerana itu pembangkang kurang mampu bersaing di padang secara sama rata dengan parti pemerintah sementara ketika pembubaran Parlimen.

“Kelebihan ini tidak ada pada pembangkang dan inilah paling dibimbangi oleh pembangkang. Perdana Menteri care taker masih mempunyai kuasa yang besar seperti lazim amalan dan konvensyen yang berlaku di negara Komanwel,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, dalam keasyikan pembangkang menggunakan mitos dan naratif banjir musim tengkujuh pembangkang terperangkap dengan mitos dan naratif mereka sendiri.

“Banjir di daerah Baling pada berlaku pada bulan Julai lepas. Manakala banjir di Batu Pahat dan Pontian berlaku pada bulan September. Itu pun kelibat pembangkang tidak turun ke kawasan banjir di Pulai, Sri Gading dan Parlimen Iskandar Puteri.

“Ini juga membuktikan banjir boleh berlaku tidak semestinya pada musim tengkujuh dan apabila banjir berlaku sikap sebenar kelibat Ahli Parlimen tidak dirasai oleh pengundi mereka sendiri. Inilah kelemahan pembangkang yang mereka cuba tutupi dengan mitos dan naratif mereka ciptakan,” katanya.

Beliau membandingkan dengan UMNO yang jelasnya sentiasa prihatin turun membantu bukan sahaja pada masa tengkujuh, tetapi bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. 

“Itulah kelebihan dan kekuatan UMNO terletak akar umbi yang kuat yang ditakuti oleh pembangkang dan musuh BN.

“Apabila pembangkang tidak ada kelebihan ini, usaha melengahkan pilihan raya umum terus dilakukan. Maka, janganlah kita terpedaya tipu daya pembangkang yang masih cuba bina mitos dan naratif yang lemah dan dangkal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button