Berita Utama

Ahli PAS disaran terima ketetapan Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja Pusat

Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan kebenaran presiden: Takiyuddin

BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Pemimpin dan ahli PAS disaran supaya mematuhi tanzim dan disiplin parti dengan menerima ketetapan serta keputusan terutama oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Malah, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS, demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tindakan berkenaan bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, katanya lagi, seluruh jentera pilihan raya parti di semua peringkat diarahkan bersiap sedia untuk menghadapi PRU15, tidak lama lagi.

“Semua peringkat parti juga perlu menumpukan usaha memantapkan gerak kerja pilihan raya seperti dirancang terutama melalui pengarahan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu melahirkan, keyakinan dengan perjuangan PAS yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“PAS akan terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan rakyat jelata selepas PRU15 bersama-sama dengan gabungan muafakat politik yang mempunyai matlamat yang sama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button