‘Cukup-cukuplah YB Syed Saddiq promosi hiburan K-Pop’
Nasihat ibu bapa sokong minat anak-anak terutama kepada artis K-Pop tidak sesuai

BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Melaka menasihatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya berhenti mempromosikan hiburan antarabangsa termasuk dari Korea Selatan (K-Pop) kepada golongan muda.
Wakil PEMBELA Melaka, Syed Mohd Aizuddin menyifatkan, video pendek Syed Saddiq bersama pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang mengupas mengenai pendidikan anak-anak di aplikasi Instagram sebagai memalukan.
Beliau berkata, nasihat Syed Saddiq supaya ibu bapa menyokong minat anak-anak terutamanya kepada artis K-Pop langsung tidak sesuai.
“Saya pasti YB sedang mempromosikan konsert Blackpink di Malaysia tahun hadapan, namun ramai rakyat Malaysia tidak selesa dengan kehadiran kumpulan tersebut.
“Kesan artis antarabangsa K-Pop khususnya kepada generasi mudah di Malaysia kini banyak yang tidak baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menyorot beberapa insiden sebelum ini, Syed berkata, negara pernah dikejutkan dengan beberapa anak muda bertudung yang sanggup menggadaikan maruah dipeluk artis K-Pop lelaki pada tahun 2015.
“Muslimah bertudung ini akhirnya dipanggil oleh Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk diberi nasihat kemudian.
“Selang beberapa tahun, kecoh pula hampir 200 anak muda bersedih dan meratapi kematian penyanyi K-Pop, Kim Jong-hyun di Malaysia.
“Menghadiri majlis berkabung dan siap ber’talqin’ dalam bahasa Korea. Mufti Perak ketika itu pula memberi nasihat,” katanya.
Beliau berkata, kemudian kecoh lagi dengan isu membabitkan kumpulan K-Pop terkenal, BTS yang dipuja sesetengah anak muda.
“Ramai yang terlalu fanatik sehingga timbul istilah ‘agama BTS’. Ramai pendakwah di seluruh Malaysia memberi nasihat dalam isu ini kemudiannya.
“Nasihat saya kepada YB Syed, cukup-cukuplah,” katanya.
Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, Syed Saddiq dan Hannah menasihatkan ibu bapa untuk menyokong minat anak termasuk terhadap selebriti dan pemain bola sepak.
Kedua-duanya meminta ibu bapa supaya memahami anak-anak dan tidak membandingkan zaman mereka dengan generasi hari ini.