Berita Utama

Ku Li ramal UMNO kalah teruk PRU15

‘Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut’

BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – UMNO kini diibarat menempah maut dengan keputusan mahu mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Malah, parti Melayu itu dijangka kalah teruk berikutan tiada persediaan yang secukupnya, demikian ramalan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut. Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya kalah dan jika kalah tahun ini, teruk kita.

“Kita tak mahu berlaku begitu pada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu… apatah lagi orang Melayu sudah berpecah-belah dengan banyak, jadi mana kekuatan kita,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini

Ku Li pada masa sama menyifatkan keputusan mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh adalah tidak logik akal berikutan boleh mengancam negara dan rakyat.

“Keputusan (PRU15) seumpama ini saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata.

“Kita sendiri nak lari, nak selamatkan diri, macam mana nak adakan pilihan raya.

“Kita pun minta rakyat selamatkan diri, masa mana rakyat nak berfikir soal undi kalau rakyat terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/10/01/mt-umno-mahu-parlimen-dibubar-dalam-masa-terdekat/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button