Berita Utama

PDRM nafi mesej tular amaran kes culik, jual organ

Jangan percaya, kongsi mesej tanpa semak kesahihannya

BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Bukit Aman menafikan ada mengeluarkan amaran berkaitan kes penjualan organ seperti didakwa dalam mesej yang ditularkan di media sosial.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran kegiatan penculikan dan penjualan organ membabitkan kanak-kanak seperti didakwa mesej itu.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Skandaguru Anandan berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima khususnya membabitkan dua buah kenderaan seperti yang dimaksudkan dalam mesej tular berkenaan.

“PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan PDRM telah mengesan mesej tular di media sosial bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa/penjaga harga organ di Malaysia’.

Katanya, kandungan mesej itu menyenaraikan harga jualan bagi organ manusia seperti jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.

Mesej itu turut mendakwa kononnya pihak Bukit Aman mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua buah kenderaan berwarna putih yang dikatakan terlibat dalam kegiatan penculikan manusia dan penjualan organ terutamanya kanak-kanak berumur bawah 15 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button