Berita Utama

Zaharin dakwa pemecatannya keputusan peribadi Presiden UMNO

Beri peluang untuk bebas menulis dan beri pendapat

BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Pemecatan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta disifatkan sebagai keputusan peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana beliau tidak menerima sebarang tunjuk sebab dan tak dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti.

“Keputusan ini lebih merupakan tindakan peribadi presiden dan konco-konco serta dianggap sebagai keputusan ‘mi segera’.

“UMNO Bahagian Bandar Tun Razak juga tidak pernah membuat keputusan dan cadangan aduan rasmi ke pejabat Setiausaha Agung untuk diambil tindakan disiplin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Datuk Onn bersetuju memecat Zaharin yang juga blogger dan aktivis daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Zaharin sebelum ini lantang dan terbuka mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Presiden UMNO melalui media sosialnya.

Bagaimanapun pada masa sama, Zaharin mempersoalkan alasan sehingga dirinya disingkirkan sebagai ahli UMNO.

“Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya daripada menulis kemungkaran politik oleh presiden? Jawabnya tidak.

“Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai ahli UMNO.

“Namun ia menaikkan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak Barisan Nasional atau UMNO di bawah kepimpinan presiden (ketika ini),” katanya lagi.

Zaharin berkata, tidak akan merayu pada keputusan kali ketiga ini seperti mana dua pemecatannya sebelum ini.

Sebaliknya menegaskan penyingkiran berkenaan memberi peluang kepada dirinya kebebasan untuk menulis dan memberi pendapat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button