Azmin mahu pertahan Gombak, tak gentar jika Anwar jadi saingan
‘Saya anak jantan. Nak hantar isteri boleh, anak pun boleh. Kalau berani hantar diri sendiri’

KUALA LUMPUR, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Azmin juga dipercayai memberi cabaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan membayangkan bahawa beliau sanggup menentang pemimpin tersebut termasuk isteri dan anak perempuannya.
Walaupun Azmin tidak menamakan secara langsung ketiga-tiga mereka, Ahli Parlimen Gombak itu memberi beberapa petunjuk merujuk kepada Ketua Pembangkang itu.
“Ada orang nak datang Gombak, silakan. Saya anak jantan. Nak hantar isteri boleh, anak pun boleh. Kalau berani hantar diri sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Mesyuarat Bahagian Bersatu dan Jentera Pilihan Raya Negeri Selangor, hari ini.
Azmin juga menyenaraikan peristiwa yang didakwa sebagai pengkhianatan Anwar sendiri kepada rakyat, menamakan ‘Langkah Kajang’ yang gagal dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
“Langkah Kajang dibuat untuk memberi laluan kepada beliau (Anwar) kembali ke dalam politik selepas dibebaskan dari penjara, manakala PRK Port Dickson bagi membolehkan beliau menerajui jawatan Menteri Besar Selangor.
“Rakyat Malaysia, sila ingat. Sejarah tidak boleh dipadamkan,” kata Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri seperti dilapor The Star.
Kenyataan Azmin itu dibuat selepas Anwar membayangkan beliau akan bertanding di kerusi yang disandang oleh salah seorang ‘pengkhianat’ Pakatan Harapan pada PRU15 akan datang.
“Saya perlu memilih kawasan yang dipegang oleh pengkhianat. Ini adalah mesej bahawa khianat dalam politik tidak boleh diterima,” kata Presiden PKR itu, yang tidak mendedahkan kerusi Parlimen mana akan ditandinginya.
Anwar tidak menolak kemungkinan bertanding di Parlimen Gombak sekiranya PKR memutuskan demikian.