Berita Utama

Bersatu mahu UMNO fikir kepentingan rakyat sebelum kuasa

Fikirlah perbelanjaan negara jika PRU15 diadakan tahun ini

PUTRAJAYA, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, partinya mahu kepimpinan UMNO memikirkan kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, UMNO tidak seharusnya hanya menumpukan usaha untuk mendapatkan kuasa sebaliknya perlu mengambil kira faktor lain seperti cuaca, kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan perbelanjaan negara jika PRU15 diadakan tahun ini.

“Bersatu mahu kerajaan memberi tumpuan kepada kesediaan kerajaan mengadakan PRU15. Adakah anggota polis mencukupi, dan sekiranya enam negeri tidak mengadakan pilihan raya negeri tahun ini, adakah ia akan meningkatkan perbelanjaan negara?

“Perkara sebegini perlu dipandang serius, kerana kita bukan sahaja tertumpu untuk mendapatkan kuasa kerajaan tetapi juga kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan, dalam masa terdekat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengemukakan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai persiapan Bersatu menghadapi PRU15, Ahmad Faizal berkata, parti itu bersedia bekerjasama rapat dengan rakan Perikatan Nasional bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button