Dua kilang di Beranang buang bahan pencemar di Sungai Kabul disiasat
Kilang aluminium disyaki buang efluen ke dalam longkang

BERANANG, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Pihak Berkuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuka kertas siasatan ke atas dua kilang di Beranang selepas bahan menyerupai bahan pencemar di Sungai Kabul ditemui di premis mereka.
Dalam satu kenyataan, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, LUAS mengesan bahan putih berbuih mengalir di Sungai Kabul pada 11.30 pagi Sabtu (1 Oktober), semasa pemantauan rutinnya di lembangan Sungai Langat.
Berdasarkan siasatan LUAS, Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), beliau berkata, bahan sama warna yang dikesan di Sungai Kabul ditemui di sebuah kilang yang membekalkan bahan binaan dan peralatan taman di Kawasan Perindustrian Mahkota.
Selain itu, katanya, LUAS dan MPKj mengesyaki sebuah kilang aluminium membuang efluen berbuih ke dalam longkang berhampiran.
“Sampel air dari titik pelepasan terakhir dari dalam dan luar kedua-dua kilang telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Bau dan keadaan fizikal sungai adalah normal. Air Selangor tidak melaporkan sebarang gangguan di loji rawatan air (WTP).
“Anggaran jarak dari sumber pencemaran yang disyaki ke tiga salur masuk LPA terdekat ialah 17km ke LPA Semenyih, 29km ke LPA Bukit Tampoi dan 40km ke LPA Labohan Dagang,” katanya sambil memaklumkan pihak berkuasa sedang memantau keadaan.
Hee berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999, yang mana pemilik premis berdepan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta penjara tidak kurang tiga tahun jika sabit kesalahan.