Berita UtamaDunia

Notis baharu Booking.com tak lagi sebut penempatan Tebing Barat sebagai wilayah yang diduduki

Pelanggan hanya digesa semak nasihat perjalanan sebelum buat tempahan

AMSTERDAM, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Laman web tempahan hotel global Booking.com, dalam pemberitahuan perjalanan terbaharunya, tidak akan merujuk penginapan di penempatan haram Israel di Tebing Barat sebagai berada di wilayah yang diduduki.

Laman web itu pada mulanya merancang untuk memberitahu pengguna bahawa ‘melawat kawasan itu (Tebing Barat) mungkin disertai dengan peningkatan risiko terhadap keselamatan dan hak asasi manusia atau risiko lain kepada masyarakat dan pelawat setempat’.

Namun, selepas penolakan daripada pegawai Israel, notis baharu itu sebaliknya menggesa pelanggan menyemak nasihat perjalanan kerajaan mereka sebelum membuat tempahan di kawasan itu, ‘yang mungkin berkonflik’.

Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Israel dan Palestin, Omar Shakir berkata, pemberitahuan itu adalah ‘sambutan hangat’ tetapi lebih banyak perlu dilakukan.

“Untuk berhenti menyumbang kepada penyalahgunaan hak berat dan apartheid, mereka harus menghentikan pembrokeran penyewaan di penempatan yang menyalahi undang-undang,” kata Omar Shakir.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Yair Lapid memuji usaha itu, yang menurutnya adalah sebahagian daripada dasar untuk mengekalkan usaha politik yang berterusan terhadap propaganda palsu anti-Israel.

Israel menduduki Tebing Barat dan kawasan kejiranan timur Baitulmaqdis, termasuk Kota Lama, dalam perang Timur Tengah 1967.  Sejak itu, ia telah menempatkan ratusan ribu rakyatnya secara haram di wilayah itu, yang tindakannya jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Saingan Booking.com, Airbnb sebelum ini merancang untuk menyahsenarai hartanah di penempatan Israel, tetapi pada 2019 menarik balik keputusan itu dan berkata ia tidak akan mengambil keuntungan di wilayah itu, sebaliknya mendermakan hasil kepada organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Menurut NGO Israel Peace Now, lebih 450,000 penduduk haram Israel tinggal di Tebing Barat bersama 2.8 juta rakyat Palestin. 230,000 lagi penduduk haram Israel tinggal di Baitulmaqdis Timur. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button