Remaja Palestin mati ditembak tentera pengganas Israel
Keganasan baharu jadi tahun paling berdarah di Tebing Barat

RAMALLAH, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Seorang remaja Palestin ditembak mati tentera pengganas Israel pada Sabtu, dalam satu insiden di Tebing Barat yang diduduki.
Kejadian itu berlaku selepas sekumpulan pemuda Palestin memecahkan lubang melalui penghadang pemisah Israel dan mula membaling objek ke arah polis.
Kejadian tembakan berlaku di Azariyah, sebuah perkampungan di luar Baitulmaqdis, sekali gus menandakan keganasan terbaharu yang menjadi tahun paling berdarah di Tebing Barat sejak 2015.
Video amatur yang dikongsi di media sosial menunjukkan sekumpulan pemuda berkumpul di hadapan penghadang konkrit dan melaungkan slogan ketika mereka terpaksa melalui pintu pagar.
Polis sempadan Israel mendakwa tentera menembak penunjuk perasaan yang cuba melemparkan bom api ke arah mereka ketika datang untuk menyuraikan demontrasi.
Rejim itu mendakwa penunjuk perasaan membaling batu dan bahan letupan ke arah mereka.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti remaja yang ditembak mati itu sebagai Fayez Damdoum, 18.
Israel membina penghalang itu kira-kira 20 tahun lalu kononnya sebagai langkah keselamatan yang bertujuan untuk menghalang penyerang daripada memasuki Israel.
Namun, penghalang itu mencecah ke kawasan Tebing Barat yang membabitkan hampir 10 peratus wilayahnya.
Rakyat Palestin melihat struktur itu sebagai rampasan tanah haram dan simbol penjajahan tentera Israel selama 55 tahun di wilayah itu.- Agensi