Berita Utama

UMNO Kelantan serah senarai calon PRU15 esok

Melibatkan 45 calon DUN dan 14 Parlimen di Kelantan

MACHANG, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – UMNO Kelantan akan menyerahkan senarai nama calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, esok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata senarai calon termasuk yang akan bertanding di kerusi Parlimen Jeli itu melibatkan 45 DUN dan 14 Parlimen di Kelantan.

“Seramai 73 calon dikemukakan untuk kerusi Parlimen dan 232 calon untuk kerusi DUN. Bagi kerusi yang sudah ada wakil rakyat daripada UMNO kita akan mengemukakan lima calon, manakala enam nama bagi kerusi-kerusi yang tiada wakil rakyat (UMNO).

“Selebihnya terpulang kepada Presiden parti untuk meneliti dan melihat apakah daripada lima nama ini adalah mereka yang sesuai dan hanya akan dipilih seorang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gabungan Silaturahim Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata senarai calon itu disiapkan mengikut pandangan dan cadangan yang diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian-bahagian di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan, berkata UMNO tidak pernah meninggalkan mana-mana parti yang berikrar, berjanji untuk taat setia, bersahabat dan berkawan.

“Sekiranya berlaku Muafakat Nasional (MN) 2.0, UMNO Kelantan menyerahkannya kepada kepimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan dasar parti.

“Biarlah di Kelantan kita lakukan ‘friendly match’ (perlawanan persahabatan) sekiranya betul ada MN 2.0 dan tidak menolak kemungkinan kerana dalam politik semuanya boleh berlaku,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button